SHAH ALAM 29 OGOS 2018. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad (tengah) bersama Ketua, Deposit bersama Pengurusan Tunai, Bank Islam (M) Berhad, Zury Rahimee Zainal Abiden (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif SnapNPay, Mohd Shahril Emran (kiri) menunjukkan Aplikasi ‘SnapNPay’ yang memudahkan pengguna menjelaskan bayaran menggunakan telefon mudah alih sempena Majlis Pelancaran Aplikasi SnapNPay kerjasama MBSA dan Bank Islam di Wisma MBSA, Shah Alam.

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menggunakan aplikasi ‘SnapNPay’ sebagai antara saluran bayaran kompaun serta cukai taksiran.

Datuk Bandar, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata pembangunan aplikasi berkenaan membabitkan kerjasama antara MBSA dan Bank Islam (M) Berhad (Bank Islam).

“Aplikasi ini adalah saluran pembayaran terbaharu dan lebih mudah iaitu pengguna hanya perlu mengimbas kod bar atau kod QR untuk nombor akaun dan jumlah bayaran yang tertera pada invois cukai taksiran, notis kompaun dan notis sekatan yang diterima.

“Pengguna kemudiannya dikehendaki memilih saluran bayaran yang disediakan dalam aplikasi berkenaan dan proses bayaran akan terus disambungkan kepada portal perbankan internet,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi ‘SnapNPay’ di Wisma MBSA, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam, Zury Rahimee Zainal Abiden.

Beliau berkata, selain pembayaran kompaun dan cukai taksiran, pengguna juga boleh melunaskan tunggakan membabitkan bil sewaan, air, elektrik, lot kosong (kos pembersihan dan bayaran lesen).

Katanya, aplikasi ‘ScanNPay’ mula digunakan sejak awal bulan ini dan sehingga kini sebanyak 1,500 muat turun direkodkan.

“Sehingga 21 Ogos lalu, sebanyak 360 transaksi diterima menerusi aplikasi ini, membabitkan jumlah bayaran RM45,000,” katanya.

Sementara itu, Zury Rahimee berkata, walaupun aplikasi berkenaan dibangunkan oleh Bank Islam, ia boleh digunakan oleh pengguna perbankan internet yang lain.

“Tiada caj sampingan akan dikenakan walaupun pengguna tidak menggunakan perbankan internet Bank Islam.

“Kami di Bank Islam juga merancang untuk memberi hadiah wang tunai kepada pengguna bertuah yang menggunakan aplikasi ini. Bagaimanapun, jumlah hadiah yang akan ditawarkan masih dalam perbincangan,” katanya.

MBSA kini mempunyai pelbagai saluran bayaran khusus untuk memudahkan penduduk berkenaan antaranya kaunter utama (Wisma MBSA); pejabat cawangan; perbankan internet; pejabat bergerak Shah Alam On Wheels dan kaunter pandu lalu.